Aku insan yang terkifarah kerana cinta
hamba. Tidak sekali aku sesali apa yang terjadi ke atas diriku ini. Semua ini
sudah ketentuanNya. Semua ini telah diatur untuk ku, hamba Mu yang tersasar
langkah dalam mengalur cinta yang berkiblatkan
nafsu. Tidak sekali aku meletakkan salah dan silap ini di atas mantan. Terima
kasih kepada mantan kerana meletakkan noktah pada hubungan yang terlarang ini
kerana diri ini tiada daya untuk melakukan sedemikian.
Diri ini sedang mabuk dilambung ombak
nafsu. Walaupun tiada kepastian atas dasar
apa hubungan ini terhenti. Bukan itu yang mahu ku cari. Bukan jawapan itu yang
ingin ku cari. Aku mencari hikmah disebalik kifarah Allah ini. Biarlah diri ini
sahaja yang merasa akan kifarah ini kerana mantan mungkin belum tiba masanya.
Aku telah melakukan sedaya untuk menyedarkan mantan.
Dulu aku merasa nikmatnya dunia. Aku merasa
nikmatnya cinta hamba. Bagaikan lautan nikmat yang terbentang luas. Saat
bersama ku rasakan bagaikan tiada apa yang dapat memisahkan kita. Saat
cinta dan hati kita bertaut ku rasakan kita akan kecapi bahagia selamanya. Ku sangkakan hamparan oasis
yang terbentang fana yang dapat menghilangkan dahagaku. Ku korbankan segala
untuk kecapinya. Ku abaikan segala untuk mengejarnya. Rupanya hanya hamparan
fatamorgana yang tidak akan sama sekali menghilangkan kehausan ku.
Dulu pelbagai janji telah ku taburkan.
Pelbagai impian telah ku bina untuk memiliki kononnya sebuah istana impian di
mana sang mantan adalah permaisuri yang bersemayam di singgah sana. Manakala
akulah Raja di samping sang mantan. Ku bina sebuah istana khayalan atas
lapangan nafsu yang mendap. Ku bina
istana khayalan dari sebuah tiang iman yang rapuh.
Lalu bila ketentuan Allah itu datang untuk
menyuluh hati hamba-hambaNya istana khayalan hanya kekal sebagai sebuah istana
khayalan malahan runtuh menimpa tuan. Jangan diratapi kemusnahan impian.
Ratapilah keruntuhan
iman. Jangan disalahkan mantan kerana mantan hanya permaisuri yang bersemayam.
Raja yang sepatutnya memimpin dan membina istana di atas lapangan keredhaan
Allah. Raja yang sepatutnya memimpin membina istana dari tiang iman yang teguh.
Sekarang biarkan aku terus haus mengejar
fatamorgana yang tak sudah. Sekarang biar aku terhimpit dengan sisa runtuhan
istana khayalan kerana ini semua kifarah Allah. Aku redha dengan kifarah Mu
ini. Biarlah kifarah ini menjadi hidayah dari Mu yang akan menerangkan setiap
jalan yang bakal ku tempuhi sehingga bertemu Mu nanti.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar